PELBAGAI KAUM, AGAMA DAN USIA BANTU KUTIP DERMA BAGI MANGSA KONFLIK DI GAZA

Oleh
Ervina Mohd Jamil (Berita Harian)
SEKITAR 400 warga Singapura - pelbagai kaum, agama dan usia - 'turun padang' memungut derma bagi menyokong usaha badan bantuan kemanusiaan Mercy Relief menolong mangsa konflik di Gaza.
Pungutan derma anjuran Saff Perdaus itu turut disokong pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Institut Pengurusan Singapura (SIM) dan Politeknik Temasek (TP) serta pertubuhan bukan Islam seperti Singapore Buddhist Lodge, Lotus Light Charity dan Persatuan Soka Singapura.
Seorang sukarelawan daripada Lotus Light Charity, Encik Maverick Cheng, 34 tahun, berkata beliau menyertai usaha itu kerana percaya selagi ada orang memerlukan pertolongan, beliau harus membantu selagi mampu dan tanpa mengira bangsa dan agama.
'Setiap manusia itu sama saja, tak kiralah dia berbangsa atau beragama apa. Asalkan mereka perlukan pertolongan, kita harus menghulurkan bantuan kepada mereka dan kita tak patut membezakan antara manusia.
'Usaha pungutan dana ini amat bermakna kerana ia menyatukan semua bangsa dan agama untuk satu tujuan - menolong mereka yang memerlukan,' ujar Encik Cheng.
Ketua lembaga pengurusan Saff Perdaus, Encik Khairu Rejal, berkata usaha itu mendapat sambutan baik dengan sekitar 100 sukarelawan hadir di Pusat Perdaus (Bedok) untuk membantu.
Selain pusat itu, tiga tempat lagi disediakan bagi para sukarelawan mengambil tin derma, iaitu Pusat Perdaus (Bukit Batok), Masjid Sultan dan Masjid AlFalah.
Setelah mengambil tin derma, para sukarelawan pergi ke serata Singapura untuk mengutip derma.
'Ia sangat menggalakkan, dan menarik sekali melihat warga Singapura daripada pelbagai bangsa dan agama bersatu pada hari ini bagi satu tujuan - membantu mereka yang dalam kesusahan di Gaza.
'Kita patut memuji usaha setiap pihak yang telah melibatkan diri dalam usaha kemanusiaan ini. Para sukarelawan kami memainkan peranan besar sekali dalam usaha pungutan dana hari ini,' ujar Encik Khairu.
Salah seorang sukarelawan anggota jawatankuasa penganjur usaha itu, Cik Rusydiah Abdul Wahab, 20 tahun, berkata: 'Saya memang selalu nak menolong mereka yang benar-benar memerlukan pertolongan kami di Gaza, dan ini merupakan peluang terbaik untuk saya berbuat demikian.'
Menurut Encik Khairu, antara $10,000 hingga $20,000 diharap dapat dikumpul melalui usaha itu. Dana tersebut kemudian akan diserahkan kepada Mercy Relief bagi bantuan kemanusiaannya di Gaza.
Mercy Relief telah menghantar wakilnya ke Kahirah di Mesir dan Baitulmakdis untuk berganding bahu bersama agensi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) dan pasukan Bulan Sabit Merah Mesir dalam menyampaikan bantuan yang diperlukan mangsa awam di Gaza, seperti tepung, gula, makanan dalam tin, susu bayi dan selimut.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home